6 kategori penuntut yang dibenarkan pulang ke kampus mulai 1 Mac depan

60 views

Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan enam kategori pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang berkeperluan, untuk pulang ke kampus masing-masing mulai 1 Mac bagi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian.

Menyedari kepentingan dalam memastikan keperluan program pengajian pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berjalan dengan sempurna walau negara kini berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19.

Atas dasar itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan media mengumumkan kemasukan semua penuntut ke kampus secara fizikal bermula 1 Mac depan membabitkan enam kategori penuntut.

KPT telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan sesi libat urus bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), pihak pengurusan IPT, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pakar kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan tarikh kemasukan pelajar ke kampus secara fizikal.

“Selain itu, kajian dan survey yang dibuat oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mendapati majoriti pelajar mahukan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) diadakan secara dalam talian.

“Justeru, berdasarkan hasil dan usaha daripada sesi libat urus tersebut, pihak MKN telah bersetuju untuk membenarkan enam (6) kategori pelajar berkeperluan kembali ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac 2021 bagi mengikuti PdP secara hibrid iaitu secara fizikal dan secara dalam talian,” ujar pihak kementerian.

Disenaraikan enam kategori penuntut yang dibenarkan pulang ke kampus seawal 1 Mac depan adalah seperti berikut:
1. Penuntut dari program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.

2. Penuntut yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian.

3. Penuntut Asasi atau Setara dan Diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid.

4. Semua penuntut antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom.

5. Penuntut Berkeperluan Khas (OKU).

6. Penuntut yang menduduki peperiksaan Malaysia University EnglishTest (MUET), antarabangsa dan badan                   profesional.

Pelaksanaan PdP secara hibrid di dalam kampus boleh dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengutamakan keselamatan serta kebajikan pelajar.

“Manakala, penuntut yang tidak termasuk dalam kategori ini akan meneruskan PdP secara dalam talian.

“Bagi penuntut berkeperluan dari Semenanjung yang akan pulang ke kampus IPT di negeri Sabah dan Sarawak diwajibkan untuk menjalani Ujian Swab yang akan dibiayai oleh KKM.

“Bagi penuntut yang tiba di Sarawak, mereka diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke kampus. Kos makan minum dan kuarantin mulai 1 Mac depan akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak,” kata pihak berkenaan.

Bagi pergerakan pulang penuntut berkeperluan dari negeri Sabah dan Sarawak ke Semenanjung pula, mereka akan ditempatkan di pusat pengasingan yang ditentukan oleh IPT masing-masing bagi memastikan bebas daripada sebarang gejala COVID-19.

“Selain dari ketetapan pergerakan penuntut IPT yang dinyatakan di atas para penuntut turut disaran untuk merujuk kepada SOP Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang sedang berkuat kuasa.

“Pihak IPT juga boleh merujuk kepada SOP Sektor Pengajian Tinggi sedia ada yang telah diwartakan merangkumi aspek pengoperasian IPT bagi semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” tambah pihak KPT.

Sehubungan itu, para penuntut boleh mendapatkan lanjut mengenai urusan kemasukan ke IPT melalui Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 0388706777 / 6949 / 6623 / 6628, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing.

Leave a reply "6 kategori penuntut yang dibenarkan pulang ke kampus mulai 1 Mac depan"

Author: 
author