Kisah Nik Ezanee beri impak positif

81 views

Kuala Lumpur: Jika ditaip nama Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal di enjin carian Google, pastinya menemui pelbagai kisah teladan dilakukan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya itu.

Kebanyakan membabitkan usaha beliau merapatkan lagi hubungan antara pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat.

Kisah Nik Ezanee membantu seorang suri rumah yang ditahan selepas gagal membayar barangan makanan dan ubat bernilai RM58 di sebuah pasar raya 20 Januari lalu, sangat menyentuh perasaan umum.

Malah, anak sulung daripada dua beradik itu tampil membayar semula barang dicuri, sebelum mendermakan kepada wanita terbabit dan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Petaling Jaya menyampaikan bantuan berupa keperluan harian.

Nik Ezanee turut mengambil keputusan menutup siasatan kes curi penampal penyejuk suhu badan, kek pandan dan sosej itu serta mengklasifikasikan kes sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) sebaik mendengar perincian daripada pegawai penyiasatnya.

Beliau yang ditemui BH dalam temu bual khas baru-baru ini berkata, perbuatan mencuri adalah satu jenayah, tetapi untuk menghukum satu keluarga miskin dan kelaparan juga satu perkara yang tidak betul.

“Saya lihat ada dua perbezaan pendapat di sini, pertama pendapat orang yang suka tindakan ini kerana membantu wanita itu dan keluarganya ketika susah.

“Kedua, cara saya ini seolah-olah mempromosi atau menggalakkan individu dalam situasi sama dengan wanita terbabit mencuri, namun bukan itu niat saya. Sekiranya perbuatan saya ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat, saya minta maaf,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, tujuannya berjumpa wanita terbabit adalah untuk memberitahu dan menasihatinya supaya tidak mengulangi perlakuan jenayah yang dilakukan.

“Walau apapun kesusahan yang menimpa pastinya ada penyelesaian dan Allah SWT juga sudah janji mengenai itu.

“Kerajaan sudah sediakan pelbagai bentuk saluran bantuan kepada mereka yang ditimpa kesusahan seperti JKM, lembaga zakat, masjid dan rumah ibadat lain jika menghadapi masalah.

“Akhir sekali, saya beritahu kepada wanita itu kalau susah sangat nak dapatkan bantuan datanglah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya. Insya-Allah saya cuba bantu,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan, ibu kepada tiga anak itu menghadapi kesulitan selepas suaminya yang bekerja sebagai pembaik pulih lif tidak mempunyai sebarang pekerjaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nik Ezanee berkata, kisah dia dan wanita itu juga memberi impak positif apabila masyarakat mulai sedar fungsi sebenar JKM dan lembaga zakat, sekali gus menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan menyalahi undang-undang biarpun berdepan kemiskinan.

“Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat datang berjumpa dengan saya memberitahu pelbagai bantuan disediakan kepada mereka yang benar-benar mengalami kesusahan.

“Apabila faham fungsi sebenar lembaga zakat, IPD Petaling Jaya merancang bekerjasama bagi mengenal pasti golongan asnaf dalam kawasan pentadbiran saya.

“Sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, saya mengenali banyak persatuan penduduk di sini dan meminta bantuan mereka mengenal pasti individu atau keluarga susah, sebelum dibantu lembaga zakat,” katanya berharap perkara itu boleh dijadikan contoh dan panduan sebagai satu tambah nilai daripada perkhidmatan PDRM kepada masyarakat.